Home » » MiLo SuaM

MiLo SuaM

MiLo SuaM


Teknologi penapisan air bermembran: Muhyiddin tidak dapat maklumat tepat

Posted: 23 Oct 2012 11:19 AM PDT

TEMPOH hari Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang beriya-iya mahu projek langat 2 yang menelan belanja berbilion ringgit dilaksanakan, mendakwa cadangan Menteri Besar Selangor untuk menggunakan sistem penapis air bermembran sebagai tidak praktikal.

Beliau mendakwa sistem penapis air bermembran itu melibatkan kos yang tinggi [Bernama].



Di bawah ini jawapan yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Selangor berhubung perkara ini.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin ternyata tidak diberi penjelasan dan maklumat yang tepat mengenai teknologi penapis air membran apabila mendakwa teknologi ini tidak praktikal kerana mahal dan tidak mampu menambah bekalan air.

Mungkin tujuh tahun lalu teknologi penapis air membran ini mahal kerana baharu diperkenalkan tetapi sekarang tidak lagi. Teknologi ini sangat kompetitf dan sekarang digunakan untuk memproses air laut menjadi air mentah di beberapa negara di Timur Tengah.

Kerajaan Selangor telah memanggil perunding daripada Kanada yang telah pun memberikan taklimat terperinci mengenai penggunaan teknologi ini yang kita anggap lebih praktikal dan menjimatkan berbanding menembuk banjaran Titiwangsa untuk membina terowong bawah tanah dan memusnahkan alam sekitar untuk pembinaan empangan di Pahang.

Menerusi teknologi ini, Negeri Selangor akan mempunyai bekalan air yang mencukupi tanpa perlu membeli air daripada Pahang. Kita mampu meningkatkan kapasiti air dengan hanya membina teknologi penapis air membran di loji pembersihan air sedia ada.

Penggunaan teknologi penapis air membran ini mampu menambahkan satu juta meter padu air sehari dengan hanya menggunakan 1/3 dari kos pembinaan Langat 2.

Purata keperluan air di Selangor dan Lembah Klang adalah sekitar empat juta meter padu sehari tetapi bekalan yang sampai kepada pengguna hanyalah tiga juta meter padu kerana satu juta meter padu 'hilang' atau Non Revenue Water (NRW). Justeru, teknologi ini mampu menampung tambahan keperluan satu juta meter padu setiap hari.

Sekiranya Timbalan Perdana Menteri tidak faham mengenai teknologi ini, kita sedia memanggil perunding daripada Kanada untuk memberikan taklimat kepada beliau dan pegawai-pegawai di Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta pakar-pakar air di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Kerajaan Selangor mengulangi pendirian bahawa kerajaan negeri tidak menentang Langat 2 tetapi perlu disertakan sebagai pakej penyusunan semula industri perkhidmatan air yang terbantut kerana tiada kerjasama dari kerajaan Pusat dan syarikat konsesi.

Penyusunan semula perkhidmatan air di Selangor adalah penyelesaian menyeluruh yang membolehkan pengguna di Selangor dan Lembah Klang menerima perkhidmatan bekalan air lebih efisen pada harga munasabah.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

Hutan Simpan Jeram Padang dirampas dan dibangunkan secara haram

Posted: 23 Oct 2012 10:57 AM PDT


KEADILAN mengambil pendirian bahawa isu-isu alam sekitar adalah isu besar negara yang perlu diketengahkan, walaupun sukar mendapat perhatian rakyat pada awalnya. Hasil gigih Naib Presiden KEADILAN, YB Fuziah Salleh terus menerus memperjuangkan pembatalan projek Lynas di Kuantan telah memberi nafas baru kepada usaha mengenengahkan isu alam sekitar sebagai isu besar negara.

Bertitik tolak dari situ, pasukan KEADILAN telah menumpukan perhatian kepada pencabulan hutan simpan dan kegiatan pembalakan yang tidak terkawal di seluruh negara. Sikap tidak bertanggungjawab Umno/Barisan Nasional ini mempunyai kesan yang serius kepada negara seperti berikut:

1. Peratusan hutan simpan tetap di seluruh Malaysia semakin berkurangan dan dijangkakan jika tidak ada perubahan dasar bersabit pembalakan dan pengekalan hutan simpan, Malaysia akan berdepan dengan kepupusan hutan dalam dua generasi

2. Kegiatan pembalakan dan rampasan hutan simpan telah menjadi punca utama rasuah hasil dari persekongkolan di antara ahli politik dan ahli perniagaan yang menjadi proksi atau pembiaya kepada ahli politik. Tanah-tanah rakyat yang luasnya berpuluh ribu ekar hilang tanpa pengetahuan rakyat kerana dipindahmilikkan kepada syarikat-syarikat kroni sedang hasilnya tidak masuk ke Perbendaharaan Negeri

3. Tanah-tanah hutan simpan yang diterokai untuk pembalakan, kemudiannya dijadikan pula ladang untuk penanaman kelapa sawit dan akhirnya dibangunkan menjadi kawasan perumahan. Keuntungan beratus juta ringgit yang sepatutnya milik rakyat akhirnya menjadi kekayaan peribadi tokoh-tokoh Umno/Barisan Nasional dan kroni mereka

4. Pembalakan dan penerokaan yang berleluasa itu sering tidak mengendahkan kesan alam sekitar yang mengundang bencana alam seperti tanah runtuh, banjir dan hakisan. Akibat ketamakan Umno/Barisan Nasional, puluhan ribu penduduk di sesuatu tempat yang terkesan dari aktiviti penghapusan hutan simpan akibat pembalakan ini berhadapan dengan bencana alam.

Saya dan Timbalan Setiausaha Agong KEADILAN, Saudara T Kumar telah diberi amanah oleh pimpinan KEADILAN untuk mengkaji, menyelidik dan membongkarkan kegiatan penghapusan hutan simpan bagi tujuan pembalakan dan segala perlakuan rasuah yang membabitkan pelbagai pimpinan Umno/Barisan Nasional dan kroni mereka. Siasatan dan kajian kami tertumpu kepada Negeri Sembilan sebagai negeri di Semenanjung Malaysia yang paling banyak menghapuskan hutan simpan bagi tujuan pembalakan.

Di antara tahun 2005 hingga 2011, Umno/Barisan Nasional di bawah pimpinan Dato' Seri Utama Mohamad Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan telah menghapuskan hutan simpan seluas 8,616 hektar melalui pewartaan membatalkan status hutan simpan kekal yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengeruskan beliau.

Statistik rasmi terkini [1] keluasan hutan simpan kekal Negeri Sembilan adalah seperti berikut:


2005
2007
2011
Keluasan hutan simpan kekal yang dibatalkan
% penurunan
Keluasan hutan simpan kekal (hektar)

162,075

154,185

153,459

8,616

5.3%

KEADILAN seterusnya menyemak keputusan-keputusan pembatalan status tanah hutan simpan bagi memastikan ia tidak bertentangan dengan undang-undang. Seperti yang dijangkakan, keputusan-keputusan ini sebenarnya tidak sah kerana melanggar undang-undang yang diperuntukan.

Kajian KEADILAN tertumpu kepada Hutan Simpan Tetap Jeram Padang Selatan yang diwartakan sebagai hutan simpan tetap sejak 30 Ogos 1918[2]. Status ini telah dibatalkan melalui Pewartaan No (Gazette Plan No) 1933 bertarikh 11 Mac 2004 yang membatalkan status hutan simpan tetap bagi membolehkan pembalakan berlaku di kawasan seluas 487.3 hektar [3].

Pembatalan tersebut bertentangan dengan Seksyen 18(1) Akta Perancangan Bandar Dan Desa (Akta 172) yang menyebut:

BAHAGIAN IV
KAWALAN PERANCANGAN
Penggunaan tanah dan bangunan

18. (1) Tiada seorang pun boleh menggunakan atau membenarkan digunakan mana-mana tanah atau bangunan melainkan menurut rancangan tempatan.


KEADILAN menyemak Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2001 – 2020 yang disediakan Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Sembilan[4]. Mukasurat 53 Bahagian (i) Zon Pengekalan (Zon Tidak Sesuai Untuk Pembangunan) seksyen (b) Zon Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tinggi secara jelas menyebut:

Zon KSAS pada tahap tinggi ini adalah kritikal untuk dipelihara supaya tidak membawa bencana alam seperti tanah runtuh yang akan mengancam nyawa dan harta benda masyarakat.

Semakan terhadap dokumen-dokumen rancangan tempatan, iaitu Rancangan Tempatan Daerah Jempol 2002 – 2015 yang diperolehi dari pihak berkuasa tempatan secara jelas menunjukkan bahawa Hutan Simpan Tetap Jeram Padang Selatan dikategorikan sebagai Zon KSAS Tahap 1, iaitu "KSAS Tahap 1 yang mempunyai sensitiviti yang tinggi terhadap pembangunan dan memerlukan kawalan ketat. Kawasan ini perlu dipelihara sepenuhnya dan tidak dibenarkan untuk sebarang pembangunan"[5].

Mukasurat 5-77[6] Rancangan Tempatan Daerah Jempol 2002 – 2015 secara jelas menunjukkan bahawa Hutan Simpan Tetap Jeram Padang Selatan adalah berkategori KSAS Tahap 1 dan tidak boleh dibangunkan.

Oleh yang demikian, pewartaan membatalkan status hutan simpan tetap bertarikh 11 Mac 2004 adalah tidak sah disisi undang-undang kerana bertentangan dengan rancangan tempatan sedia ada, lalu melanggar Seksyen 18(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa.

Malangnya, Kerajaan Umno/Barisan Nasional di bawah pentadbiran 2 orang Menteri Besar (Tan Sri Isa Samad dan Dato' Seri Utama Mohamad Hassan) tidak menghiraukan undang-undang dan membenarkan penerokaan berlaku. Balak di kawasan hutan ini telah ditebang sepenuhnya dan kini ia telah diusahakan pula sebagai kawasan penanaman kelapa sawit.

KEADILAN mempunyai bukti bahawa pimpinan Umno/Barisan Nasional mendapat keuntungan dari tindakan yang melanggar undang-undang ini hasil dari kegiatan pembalakan dan penanaman kelapa sawit.

Ini adalah kenyataan pertama KEADILAN yang akan disusuli dengan lebih banyak pembongkaran dalam minggu-minggu akan datang.



RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
T KUMAR
TIMBALAN SETIAUSAHA AGONG KEADILAN


[1] Sumber kajian: Lim & Susukwan (2007), Laporan Tahunan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia 2007, Laporan Tahunan Semenanjung Malaysia 2010
[2] Sumber: Laman web Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan
[3] Sumber: WWF-Malaysia Discussion Paper 2007 on deforestation, disertakan bersama
[4] Disertakan bersama
[5] Mukasurat 5-74, Rancangan Tempatan Daerah Jempol
[6] Disertakan bersama

Mengapa saya menyediakan kek di program "Santai bersama Kak Wan"

Posted: 22 Oct 2012 04:32 PM PDT




PERTUMBUHAN kadar jenayah di zaman ekonomi yang tidak menentu kala ini didorong oleh jurang pendapatan yang ketara serta kurangnya keprihatinan terhadap masyarakat. Acara penyediaan kek ini menunjukkan tindak balas dan respons kita, khususnya terhadap perkara kurangnya prihatin.

Dewasa ini, samada mereka merasakan tiada apa yang boleh membantu keadaan ini, atau bahawa tiada yang peduli membawa kepada rasa bahawa mereka juga tidak perlu mengambil berat.

Kita mulakan keprihatinan dengan mengenali antara satu sama lain, dan acara ini diharapkan dapat membantu dengan membawa bersama ibu-ibu seperti saya yang mendambakan kehidupan kita di Malaysia ini menjadi lebih baik dan lebih selamat.

Terdapat berbagai kes jenayah yang melanggar batas norma kerana masih terdapat sikap acuh tidak acuh di kalangan komuniti. Bersama kumpulan ini, kita menghantar pesanan bahawa kaum ibu juga mempunyai keprihatinan di mana kita bukan sekadar melihat tapi sedia dan mampu untuk bertindak.

Tindakannya adalah mudah dan ringkas. Antaranya adalah sentiasa memerhati dan prihatin terhadap situasi di kejiranan, berpesan pesan sekiranya ada jiran yang meninggalkan rumah untuk urusan atau bercuti dan berkongsi tips-tips keselamatan bersama serta keterlibatan daripada pihak berkuasa.

Acara ini diharapkan dapat memberi galakan kepada yang hadir bahawa mereka tidak keseorangan serta mereka mesti bertindak dan mendorong yang lain untuk mula bertindak kelak.

Inilah hasrat kami untuk membina komuniti prihatin dalam " Ibu Malaysia Menentang Jenayah " (https:://www.facebook.com/mumsXcrime)

Satu tindak balas yang berkesan untuk kes jenayah adalah penyertaan secara meluas tentang komuniti persekitaran. Inilah usaha serta pendekatan kita.


DATO' SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
PRESIDEN PARTI KEADILAN RAKYAT

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Hubungi : Facebook | Twitter | BBM pin 28CDCD2A
Copyright © 2012. lipasmalas - All Rights Reserved under Common Creative Attribution
Template Modify from Wordpress Hack
tracker Powered by Blogger